Monday, January 12, 2015

Becoming King ..The Pakyung Revisited




KRITIKAN KARYA
Becoming King ..The Pakyung Revisited- Joseph Gonzales | Fakulti Tari Aswara|
11 - 14 Disember 2014|DPAC Black Box

“Becoming King ..The Pakyung Revisited” telah dipentaskan pada 11 – 14 Disember 2014 di Damansara Performing Art Centre oleh pelajar fakulti tari ASWARA. Karya ini telah dicipta dan diilhamkan oleh seorang koreografer iaitu Joseph Gonzales, juga merupakan seorang dekan fakulti tari dan pensyarah di ASWARA. Minat beliau terhadap persembahan makyung yang mendalam sejak beliau menjadi pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada tahun 1994. Beliau juga mengenali persembahan makyung dari seorang tokoh budaya Negara iaitu Khatijah Awang atau lebih dikenali dengan gelaran Mak Jah. Minat beliau terhadap persembahan makyung ini telah memberikan inspirasi kepadanya untuk menghasilkan sebuah karya yang berbentuk dan bersifat kontemporari tradisional. Maka, lahirlah karya beliau yang bertajuk Becoming King ..The Pakyung Revisited.
Di dalam persembahan karya beliau pada 12 Disember 2014, yang mana saya sendiri menyaksikan persembahan tersebut. Pada permulaan persembahan dengan keadaan pentas yang kosong, terdapat enam penari utama memasuki ke ruang pentas berpakaian t-shirt berlainan warna seperti warna hijau, merah jambu, kuning, oren, ungu dan biru. Kesemua penari telah berdiri di sebelah kiri ruang pentas dengan melakukan gerakan yang bertenaga  dan pantas. Gerakan tersebut telah disulamkan dengan gerakan yang diolah  daripada gerakan mengadap rebab.  
Di dalam fasa permulaan ini, gerakan yang dilakukan oleh kesemua penari adalah sesuatu gerakan yang berulangan di bawah cahaya lampu yang membulat besar di ruang kiri pentas sehingga cahaya lampu menjadi kecil. Pada penilaian saya, gerakan yang mereka lakukan adalah sesuatu perkara rutin di dalam kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap makhluk di muka bumi ini. Tetapi gerakan yang dilakukan secara berulangan itu oleh kesemua penari membosankan pada pandangan saya kerana terlalu panjang durasinya. Bagi pedapatan serta pemerhatian saya, gerakan yang dilakukan itu  sangat menarik perhatian dan tidak membosankan untuk ditonton. Tetapi yang menjadi masalah bagi saya adalah durasinya yang terlalu panjang. Apabila kesemua penari di dalam cahaya lampu yang kecil, mereka melakukan gerakan yang minimum dan perlahan. Di dalam gerakan yang bersifat perlahan itu, terdapat beberapa gerakan berulangan yang menarik yang saya faham tentang gerakan seperti memakai seluar dan baju. Terdapat beberapa penari, ada kalanya telah jatuh dalam melakukan gerakan tersebut dan menyambung semula gerakan ulangan tersebut. Pada pendapat saya, gerak itu mengambarkan rutin kehidupan yang perlu dilalui dan ditentukan oleh pencipta-Nya. Kehidupan yang perlu dilalui oleh mereka adakalanya sempurna dan tidak sempurna, mereka perlu redha atas ketentuan-Nya.
Pada fasa ke-2 persembahan, di sebelah ruang kanan pentas di bawah cahaya lampu yang kecil, terdapat seseorang yang berpakaian lengkap pakyung bersetanjak sambil memegang rotan berai disisi pinggang kirinya. Pakyung tersebut telah mengeluarkan suara seperti sebuah nyanyian yang tidak difahami bahasa loghatnya. Pakyung tersebut telah menyanyi dengan lontaran suara yang lantang bersama ekspresi muka yang menjadi tanda tanya siapakah gelaran beliau. Sementara 6 penari meneruskan gerakan yang perlahan seperti tidak mempunyai semangat untuk memeruskan kehidupan dan berdailog dalam bahasa loghat Kelantan. Kesemua penari bercakap secara bersendirian dengan gerakan tidak berdaya di tengah ruang pentas. Gerakan yang dilakukan oleh kesemua penari tersebut seolah-olah berada di dalam situasi dan alam yang berbeza. Kesemua mereka berada di dalam bulatan cahaya lampu menghadap pakyung yang masih menyanyikan lagu yang tidak difahami. Pada tanggapan dan tafsiran saya, di dalam persembahan makyung yang asli, akan berlaku sesuatu perkara transisi alam realiti ke alam ghaib. Dimana kesemua penari berada di dalam alam ghaib yang sedang berdailog bersama pakyung, yang mana pakyung tersebut sedang memulihkan semangat kepada mereka dengan menggunakan rotan berai yang dipegangnya. Pakyung tersebut telah menggunakan rotan berai pada setiap penari dengan menyentuhkan secara libasan yang kecil kepada badan mereka. Pada penilaian saya, pakyung tersebut merupakan seorang yang mempunyai kuasa dari sudut dirinya sendiri sebagai seorang raja dan mempunyai kuasa ilmu untuk menyembuhkan atau memulihkan  semangat. Selain itu, rotan berai yang digunakan oleh pakyung juga menjadi satu perlambangan kekuasaan kepada dirinya. Rotan berai yang digunakan juga mempunyai kuasa untuk menyembuhkan atau memulihkan semangat melalui rotan berai secara libasan sentuhan yang perlahan kepada tubuh kesemua penari tersebut. Setelah itu, kesemua penari seperti kelihatan pulih dan mempunyai semangat baru untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Pakyung tersebut, sedikit demi sedikit beransur secara perlahan beredar dari pentas meninggalkan 6 penari tersebut dengan nyanyian yang masih diteruskan tanpa henti.
Setelah suara nyanyian pakyung mula perlahan-lahan dan hilang dari pandangan, suasana menjadi normal di dalam ruang pentas. Di dalam fasa yang ke-3 ini, terdapat beberapa penari lain memasuki ruang pentas seramai sebelas orang memegang dan membawa rotan berai setiap seorang. Kesemua penari di ruang pentas seramai 17 orang  telah duduk bersilang kaki berhadapan penonton. Kesemua penari melakukan gerakan dengan menggunakan rotan berai seperti libasan yang dilakuan oleh pakyung. Gerakan yang dilakukan seolah gerakan libasan rotan berai telah direkontraksikan gerakannya agar kelihatan lebih menarik. Gerakan yang dilakukan oleh kesemua penari sangat menarik kerana mempunyai persamaan dalam kuantiti yang ramai dan mempunyai tenaga yang sama dalam melalukan gerakan tersebut. Pergerakan ini dilakukan secara berulangan tanpa henti dan menjadi suasana yang riuh rendah suara mereka. Di dalam melakukan gerakan yang tanpa henti oleh enam penari bersama sebelas penari yang lain, terdapat salah seorang dari pada mereka telah berdiri serta-merta dengan menghalakan rotan berai ke arah  hadapan di sebelah kiri ruang pentas. Penari tersebut adalah penari berbaju oren telah menuju ke arah yang ditunjukan, lalu berdiri di bawah cahaya lampu yang kecil. Penari berbaju oren tersebut telah memperkenalkan dirinya sebagai pakyung. Setelah memperkenalkan dirinya, penari berbaju oren kembali semula dan duduk di tempat asal dengan penari yang lain masih meneruskan gerakan rotan berai tanpa henti. Begitu juga dengan lima penari yang lain akan melakukan perkara yang sama, diikuti dengan penari berbaju kuning, biru, hijau, merah jambu dan ungu memperkenalkan diri masing-masing dengan gaya tersendiri. Pada pemerhatian saya dalam mereka memperkenalkan diri sendiri, terdapat pelbagai watak dan gaya untuk mereka menarik perhatian penonton. Di dalam penilaian saya, siapakah yang layak di antara mereka menjadi pakyung. Mereka seolah-olah berlawan dalam memperkenalkan diri untuk menjadi menjadi pilihan sebagai pakyung.
Setelah kesemuanya memperkenalkan masing-masing dan kembali ke tempat. Mereka meneruskan gerakan rotan berai secara berulangan sehingga kesemua penari berdiri dengan menghalakan rotan berai ke arah  hadapan di sebelah kiri ruang pentas, kemudian ruang pentas menjadi gelap. Keenam-enam penari utama telah muncul di hadapan ruang pentas di dalam ruang lampu dengan watak dan karekter masing-masing. Di dalam fasa ke-5 ini, saya telah membuat penilaian tentang situasi ruang pentas. Di mana setiap penari utama mempunyai penyokong dan di antara mereka seolah-olah berlawan untuk menjadi pempimpin dan siapa yang terbaik di kalangan mereka. Setelah itu, di antara mereka telah membentuk dua kumpulan dengan gerakan yang seumpama mengejek atau mengajuk di  antara mereka untuk berlawan. Setiap kumpulan mempunyai gerakan yang tersendiri dan berbeza di antara mereka. Setiap gerakan yang mereka lakukan adalah gerakan yang berulangan. Setelah itu, kedua-dua kumpulan ini bergabung menjadi satu kumpulan dengan mengikut gerakan kumpulan masing-masing dalam arah yang berbeza. Pada pendapat saya, situasi ini seperti sesuatu perkara yang  berkaitan dengan politik di Malaysia, yang mana terdapat dua pihak sedang bertelagah atau bergaduh untuk mendapatkan kedudukan utama sebagai pemimpin.
Di dalam fasa ke-6 persembahan, terdapat dua buah meja di ruang pentas kiri dan kanan seperti sebuah meja mengudi. Bersama beberapa penari berpakaian seperti pakaian formal dan suasana menjadi sunyi seketika. Apakah yang sedang berlaku dan akan berlaku seterusnya?, menjadi tanda tanya kepada saya. Saya sendiri telah diberikan sehelai kertas undian untuk mengundi siapakah yang layak di antara enam penari utama.  Mereka menjemput saya ke arah meja untuk memangkah undian dan memasukan kertas undian ke dalam kotak undian yang disediakan. Begitu juga dengan penonton yang lain, sedang beratur untuk menunggu giliran mengundi di meja undian. Di dalam ruang pentas pada ketika itu telah bertukar situasinya menjadi suasana mengundi seperti pada hari pilihanraya di Malaysia. Setelah kesemua penonton yang membuat undian di meja kembali ke tempat duduk masing-masing, tibalah keputusan undian untuk dikira. Statistik keputusan di antara enam penari utama telah dipaparkan. keputusannya berpihak kepada penari berbaju ungu dengan jumlah undian sebanyak 48 undian. Diikuti dengan penari berbaju hijau (19), kuning (7), biru (7), merah jambu (5) dan oren (2) undian. Pada pendapat saya selain undian yang diketahui, saya dapat mengetahui berapa ramai penonton yang hadir pada malam persembahan tersebut.
Pada fasa terakhir persembahan, kesemua penari telah berhimpun untuk menyaksikan upacara penyerahan mahkota setanjak kepada penari berbaju ungu oleh pakyung yang muncul dalam fasa ke-2 persembahan tadi. Pakyung tersebut telah meletakan mahkota setanjak di atas kepala penari berbaju ungu. Kemudian beliau menyentuhkan rotan berai secara libasan perlahan kepada tubuh badan penari berbaju ungu tersebut. Maka, penari berbaju ungu telah menjadi ketua untuk kesemua penari yang perlu diikuti. Pada penilaian saya, pakyung tersebut seperti agung yang telah memberi mandat kepada seorang pemimpin negara untuk menjalankan tugasan dan menjaga rakyat dengan sebaik-baiknya. Setelah upacara penyerahan mahkota setanjak, penari berbaju ungu mengetuai untuk menyanyikan nyanyian mengadap rebab bersama-sama penari yang lain. Nyanyian tersebut dimulakan dengan suara pakyung dan diikuti dengan penari berbaju ungu kemudian diikuti yang lain. Gerakan yang dilakukan mereka adalah gerak rutin mengadap rebab di dalam persembahan makyung. Selain juga terdapat beberapa penari berdiri dan keluar dari ruang pentas ketika nyanyian sedang diperdengarkan. Kemudiannya pakyung sedikit demi sedikit  beransur keluar dari ruang pentas meninggalkan kumpulan tersebut. Sehinggalah nyanyian mengadap rebab selesai dan ruang pentas menjadi gelap. Saya beranggapan bahawa penari yang keluar dari ruang pentas itu tidak mahu mengikuti dan tidak bersetuju dengan pemilihan penari berbaju ungu menjadi ketua pemimpin. Bagi pakyung pula, beliau meninggalkan ruang pentas dengan tenang kerana beliau merasakan ketua pemimpin tersebut boleh mengetuai dan bertanggungjawab kepada kumpulannya.
Selain itu, pada pendapat saya penggunan muzik oleh Ng Chor Guan di dalam persembahan ini sangat menarik perhatian saya kerana ia tidak menggunakan 100 peratus bunyian rebab.  Beliau menggunakan alat muzik elektronik yang telah dikomposisikan muziknya secara gabungan muzik baru di antara tradisional dan barat. Ciri-ciri bunyiannya masih lagi bersifat tradisional dengan bunyian serunai yang sangat seimbang dengan gabungan muzik barat.
Pada keseluruhan penilaian saya, yang mana koreografer Joseph Gonzales telah menghasilkan karya yang sangat menarik dan mempunyai ciri-ciri permainan politik di dalam karya beliau. Apa yang ingin disampaikan oleh beliau pada tanggapan saya ialah cara pemilihan ketua pemimpin dengan mencari apakah sifat atau kriteria penting untuk menjadi pemimpin pada masa kini dalam politik di Malaysia dan mencari makna yang relevan dalam konteks persembahan kontemporari yang menarik pada masa kini.



No comments:

Post a Comment