Monday, January 12, 2015

JAMU 2014

Estetika Dan Kritikan Tari 2014


               
               Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif pada manusia khususnya wanita. Setiap wanita inginkan kecantikan pada diri masing-masing untuk menarik perhatian sekeliling, begitu juga dengan seseorang yang suka melihat tentang kecantikan.

            Pada 26 hingga 28 September 2014 bertempat di Black Box Aswara, saya telah menonton sebanyak 7 buah karya yang mempunyai pelbagai tema dan konsep di persembahkan. Salah satu sebuah karya yang menarik perhatian saya dalam persembahan Jamu 2104 adalah karya yang bertajuk "Jarum Berseri" yang dikoreografi oleh Mohd. Yunus Bin Ismail seorang pensyarah di Aswara. Karya yang telah dipersembahkan adalah berkaitan dengan feminism tentang kecantikan pada wanita.

            Perkara yang menarik perhatian saya adalah sesuatu perkara mistik yang terdapat dalam kehidupan masyarakat melayu nusantara pada masa lampau mahupun pada masa kini. Jika dilihat daripada tajuk karya beliau "Jarum Berseri" ialah suatu perkara yang berkaitan dengan estetika wajah dan perbuatan syirik di dalam islam seperti pemakaian susuk pada wajah. Pemakaian susuk ini lebih dekat dengan perbuatan di antara manusia dan alam ghaib yang tidak memikirkan perkara keburukan yang akan ditimpa pada diri sendiri. Apa yang difikirkan adalah kecantikan semata-mata pada wajah seseorang.

            Pada awal kemunculan, seorang penari yang berpakaian kebaya pendek yang berwarna merah telah melakukan pergerakan yang bersifat agresif dan mencemaskan pada diri saya dengan iringan alunan gamelan yang memberi impak kepada suasana yang mencurigakan. Penari tersebut telah melakukan pergerakan bersifat agresif, mengambarkan sesuatu perkara yang telah mengongkong dan mengawal tubuh dalamannya  serta mencuba untuk melepaskan diri daripada kongkongan itu. Saya beranggapan bahawa, penari tersebut telah melakukan perbuatan syirik dengan pemakaian susuk pada wajahnya dan mencuba untuk kembali ke jalan yang benar tanpa pemakaian susuk lagi pada wajahnya. Penari tersebut berasa menyesal dan mencuba untuk melepaskan dirinya daripada perkara syirik tetapi tidak kesampaian kerana telah berpegang dengan syarat antara dirinya dan kuasa ghaib.

            Dalam fasa kedua persembahan, muncul pula seorang penari dengan pakaian kebaya pendek yang berwarna kuning dengan pergerakan yang bersifat perlahan dan menjadi tanda tanya pada diri saya, apakah dan siapakah watak yang ditonjolkan. Saya beranggapan bahawa dengan menggunakan semiotik atau lambang pemakaian berwarna kuning pada penari tersebut adalah sesuatu perkara yang mistik, samada perkara baik atau sebaliknya. Di dalam fasa persembahan ini, penari mempunyai mimik wajah yang bersifat misteri dan sesuatu perkara yang bersifat jahat telah dilakuan olehnya. Saya membuat andaian dalam fasa ini bahawa penari berkebaya kuning itu telah cuba melakukan perbuatan bersifat jahat atau perkara yang tidak baik terhadap penari berkebaya merah.

            Fasa persembahan seterusnya adalah gandingan dengan pergerakan yang sama di antara kedua-dua penari berkebaya merah dan kuning. Mereka telah menjadi satu dalam pergerakan yang bersifat kasar, halus dan agresif dengan menggunakan gerakan yang semiotik seperti objek yang tajam yang boleh menembusi sesuatu. Gerakan dan hayunan tangan dari pangkal lengan sehingga ke jari hantu melambangkan sesuatu objek yang tajam dan halus sifatnya.

            Perkara yang menarik perhatian saya sendiri dalam persembahan karya yang dikoreografi oleh Mohd. Yunus Bin Ismail ini adalah pengolahan idea dan konsep, gerakan (vocabulary), pemakaian warna baju kebaya dan penataan sinografi seperti pengunaan kain panjang, penataan cahaya, penataan kesan bunyi dan muzik. Begitu juga dengan pemilihan pelaku pentas atau penari yang sangat mantap dengan gerakan yang ditonjolkan dalam persembahan karya telah membantu dalam pengkaryaan beliau. Pemakaian kebaya pendek yang dipakai oleh penari tersebut disemiotikkan sebagai budaya orang melayu dan masyarakat nusantara. Pemilihan kesan bunyi dan muzik yang digunakan sangat bersesuaian dengan konsep yang ditonjolkan adalah muzik alunan gamelan yang diperdengarkan untuk halwa telinga bersesuaian dengan perkara, budaya  atau kehidupan masyarakat di Nusantara pada masa lampau.

            Pada penilaian saya tentang penggunaan kain panjang berwarna merah dan kuning di dalam karya ini sangat menarik tetapi saya tidak menyukai cara penurunan dan penggunan kain panjang itu. Koreografer perlu mencari satu idea cara penurunan kain panjang yang boleh memberi impak yang lebih menarik dan memberi sesuatu yang istimewa kepada penonton yang melihat karya ini.

            Karya yang bertajuk "Jarum Berseri" yang dikoreogafikan oleh Mohd. Yunus Bin Ismail ini telah berjaya menarik perhatian dan pemahaman saya dan juga penonton tentang karya beliau dengan penggunaan semiotik daripada gerakan (vocabulary) penari, pakaian, warna dan muzik serta memberi makna atau maksud yang seiring tentang kehidupan masyarakat nusantara tentang pemakaian susuk pada wajah dan tidak memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya samada perkara baik atau sebaliknya pada masa akan datang.






No comments:

Post a Comment