Monday, January 12, 2015

Khmeropedies I & II – Emmanuele Phuon – Amrita Perfoming Arts.


KRITIKAN KARYA

Khmeropedies I & II – Emmanuele Phuon – Amrita Perfoming Arts.

Di dalam dunia kontemporari di Cambodia telah bermula sejak awal 2003. Khmeropedies merupakan salah satu karya kontemporari yang dicipta oleh seorang koreografer Emmanuele Phoun pada ketika itu dan dikendalikan oleh Amrita Performing Arts.
Pada permulaan dan awal persembahan Khmeropedies I, terdapat seramai 9 orang penari berbaju putih yang terdiri daripada 8 orang lelaki dan seorang perempuan berjalan memasuki ke ruang pentas. Kesemua penari berjalan sambil tangan kanannya diangkat di hadapan dada dan tangan kiri berada disisi pinggang kiri. Kesemua penari tersebut berada di ruang pentas sambil berjalan  dan bersilangan antara sama lain. Adakalanya di antara mereka telah melakukan satu bentuk gaya seperti seekor monyet dan kembali semua berjalan seperti biasa. Tafsiran yang dapat saya terjemahkan di sini adalah sekumpulan atau golongan manusia dan seekor monyet yang menjalani kehidupan di dalam dunia ini. Apa yang dapat saya kaitkan di antara penari-penari di dalam persembahan  ini dengan sejarah persembahan di Cambodia adalah sebuah kisah epik India yang berkaitan dengan Ramayana pada zaman dahulu. Cerita diperolehi daripada kisah penculikan Sita Dewi oleh Ravana yang telah diselamatkan oleh Hanuman. Maka di dalam persembahan dan karya yang ditonjolkan oleh koreografer Emmanuele Phuon adalah berkaitan dengan kisah epik India dengan element gerakan yang bersifat pergerakan monyet dan manusia.
Pada fasa ke-2 di dalam karya ini, penari telah berkumpul di ruang kiri pentas dan membentuk longgokan yang rapat dengan aras yang berbeza. Longgokan di ruang kiri pentas dapat di gambarkan sebagai sebuah gunung kerana ada beberapa penari telah berada di atas longgokan yang bina. Terdapat juga pergerakan yang seumpana mendaki gunung dan mencari sesuatu di puncak gunung oleh penari dengan pergerakan seekor  monyet. Apa yang dapat dilihat pada ketika itu adalah perwatakan seorang perempuan dan pergerakan seekor monyet yang berada di atas longgokan tersebut. Pada tafsiran yang saya dapat terjemahkan di sini adalah berkaitan dengan kisah Ramayana, yang mana pergerakan seekor moyet tersebut adalah Hanuman dan perwatakan seorang peremuan tersebut ialah Sita Dewi. Ini boleh dikaitkan dengan kisah pencarian Sita Dewi oleh Hanuman yang mana Sita Dewi di dalam kesediahan.
Pada fasa terakhir di dalam karya Khmeropedies I, hanya 3 orang penari sahaja yang berada di ruang pentas meneruskan gerakan. Di ruang kiri pentas, penari telah melakukan pergerakan solo dengan bentuk gaya seekor monyet seperti cara berjalan, cara duduk, cara mengaru badan dan sebagainya.  Sementara dua orang penari berada di ruang kanan pentas telah melakukan pergerakan secara duet atau berpasangan. Pergerakan yang dilakukan di antara mereka itu seperti pasangan seorang kekasih. Apa yang dapat dilihat pada ketika itu, pergerakan yang dilakukan oleh mereka seperti pergerakan imbangan badan antara pasangan dan menggunakan bentuk gaya tarian klasik Cambodia. Pada tanggapan dan tafsiran saya tentang pergerakan di antara solo dan duet ini juga mempunyai kaitan dengan kisah Ramayana. Yang mana pergerakan solo berkaitan dengan Hanuman dan pergerakan duet tersebut berkaitan dengan Ramayana dan Sita Dewi. Secara keseluruhan yang saya dapati di dalam karya Khmeropedies I ini adalah Emmanuele Phuon ingin mencuba untuk melakukan perubahan di dalam tarian klasik Cambodia kepada kontemporari di Cambodia. Emmanuele berkarya dengan menonjolkan kisah yang berkaitan dengan kisah epik India iaitu Ramayana dengan mengekalkan cirri-ciri tradisi tarian klasik Cambodia.
Khmeropedies II pula merupakan rentetan karya Emmanuele Phuon daripada Khmeropedeis I. Pada permulaan persembahan, di ruang pentas telah dihidangkan dengan beberapa tayangan gambar seperti gambar bentuk gaya seorang penari perempuan Cambodia dan juga gambar seorang lelaki. Setelah tayangan gambar selesai, ruang pentas telah dihadiri oleh seorang peremuan berbaju hitam dan berseluar ungu berdiri di tengah ruang pentas dengan cahaya lampu yang sedikit suram. Penari tersebut telah memulakan gerakannya yang perlahan sifatnya. Gerakan yang dilakukan itu sangat menarik dengan gaya yang unik. Selain itu, gerakan yang dilafazkan dengan tubuh badannya seperti sedang beremosi. Pada penilaian saya, perempuan berbaju hitan dan berseluar ungu itu adalah seseorang yang melakuakn gerakan rutin sebagai seorang penari klasik Cambodia. Selain itu, perempuan tersebuat adakalanya berasa sedih di dalam gerakan yang dilakukan. Berkemungkinan, penari tersebut berasa dan bertanya pada dirinya sendiri, apakah yang akan terjadi kepada tarian klasik Cambodia pada masa akan datang.
Pada fasa ke-2 persembahan Khmeropedies II, terdapat seramai 3 orang berbaju hitam telah memasuki ruang pentas yang terdiri daripada seorang lelaki berseluar oren dan dua orang perempuan masing berseluar kuning dan merah. Kesemua penari bersama penari berseluar ungu duduk di tengah-tengah ruang pentas sambil membuat gerakan seperti sesi latihan dan pemanasan badan. Pada ketika ini, penilaian saya yang dapat saya tafsirkan adalah seorang guru tari bersama tiga orang pelajar atau anak murid di dalam satu situasi latihan tarian di Cambodia. Penari berseluar ungu itu adalah seorang guru tari yang sedang membetulkan gerakan tangan dan tubuh badan kepada anak muridnya di dalam sesi pemanasan badan berbentuk teknik klasik.
Kemudian, kesemua penari bangun daripada tempat duduknya dan berjalan ke arah masing-masing. Penari lelaki berseluar oren telah menuju ke arah kiri atas ruang pentas dan manakala tiga orang perempuan ke arah kanan hujung pentas. Masing-masing melakukan gerakan mengikut kumpulan sendiri seperti tiga orang penari perempuan sedang melakukan gerakan dalam tarian kalsik  dan lelaki berseluar oren telah melakukan gerakan seperti gerakan perlakuan seekor monyet. Setelah beberapa minit perjalanan pergerakan masing-masing di antara mereka, terdapat paparan sarikata terjemahan bahasa Inggeris yang dilafazkan dialog oleh penari lelaki berseluar oren. Yang mengatakan menari tarian monyet di Cambodia sangat memenatkan. Sedangkan tarian klasik yang ditarikan oleh penari-penari perempuan begitu lemah lembut bentuknya, walaupun tarian lelaki di dalam tarian klasik Cambodia ditarikan oleh perempuan.
Di dalam gerakan yang dilakukan oleh penari lelaki berseluar oren dapat dilihat seperti pergerakan perlakuan seekor monyet. Gerakan yang dilakuan seperti cara berjalan, cara duduk, cara menggaru tubuhnya dan sebagainya. Bagi penari perempuan telah melakukan  gerakan secara berpasangan seperti lelaki dan perempuan dalam bentuk tarian klasik dan adakalanya gerakan dilakukan dalam gerakan yang luar biasa yang dilakukan oleh mereka seperti gerakan berbentuk teknik barat. Kemudian di antara mereka telah bergabung dalam melakukan gerakan secara trio. Mereka telah melakukan gerakan gabungan antara gerakan perlakuan seekor monyet dan tarian klasik secara berulangan. Pada tafsiran saya, pergerakkan di antara mereka merupakan sebuah perjalanan tarian-tarian di Cambodia yang rutin dilakukan. Tarian-tarian yang rutin dilakuakn seperti penari lelaki hanya menari tarian berbentuk tarian monyet sahaja dan penari perempuan dengan tarian klasiknya.
Pada fasa ke-3, penari perempuan berseluar kuning telah melakukan beberapa gerakan solo yang mana gerakan tersebut adakalanya bersifat perlahan dan pantas. Muzik yang mengiringi penari tersebut merupakan bunyian kod-kod piano yang sederhana temponya. Gerakan yang dilakukan seperti gerakan tarian klasik yang berubah bentuk gayanya kepada gerakan kontemporari. Gerakan tersebut sangat berbeza dinamiknya yang biasa dilakukan oleh seorang penari Cambodia. Pada penilaian saya, penari berseluar kuning tersebut telah mencuba untuk melakukan gerakan kontemporari daripada tarian klasik. Ini kerana gerakanya sangat berbeza daripada gerakan bersifat perlahan dan lemah lembut bertukar kepada  gerakan yang dinamik tempo pergerakannya.
Setelah selesai, pergerakan yang dilakuakn oleh penari perempuan berseluar kuning, muncul pula penari perempuan berseluar merah melakukan pergerakan secara solo. Gerakan yang dilakukan olehnya seperti gerakan yang agak kekok bentuk gerakan bukan gerakan biasa yang dilakukan. Tempo gerakannya begitu pantas dan tidak mempunyai hala tuju atau arah gerakannya. Penari tersebut telah melakukan gerakan mundar-mandir tujunya. Tidak kelihatan langsung bentuk gerakan tarian klasik mahupun gerakan tari barat. Pada penilaian saya bahawa penari perempuan berseluar merah seperti tidak dapat membuat pilihan gerakan apa yang perlu dilakukan sama ada gerakan tari klasik mahupun kontemporari. Di dalam minda atau fikirannya, adakah dia perlu membuat pilihan tarian klasik ataupun tarian kontemporari untuk dirinya sendiri.
Pada fasa ke-4, kelihatan penari perempuan berseluar ungu memasuki ruang pentas dang menghalang gerakan yang dilakukan oleh penari perempuan berseluar merah. Penari perempuan berseluar ungu terus meneruskan dengan gerakan tarian klasiknya dan kemudiannya di antara penari perempuan berseluar kuning dan merah menuruti dan mengikutnya apa yang dilakukan. Sementara itu, penari lelaki berseluar oren memasuki ruang pentas dan duduk di hadapan bersama-sama penari perempuan yang lain. Gerakan yang dilakukan seperti gerakan  yang sama seperti di dalam fasa ke-2 persembahan. Penari perempuan beseluar ungu masih mengekalkan gerakan tarian klasiknya dan yang melakukan gerakan seperti sesi latihan yang digabungkan dengan gerakan bentuk tari barat dan klasik. Adakalanya 3 penari tersebut melakukankan gerakan kepada kontemporari dalam masa yang sama dengan penari perempuan berseluar ungu. Pada penilaian saya pada fasa ke-4 persembahan ini adalah seorang guru tidak mengemari dan menyukai penari atau anak muridnya melakukan gerakan tarian berbentuk barat. Gurunya merasakan tarian klasik perlu diteruskan untuk generasi lain dan merupakan tanggungjawabnya untuk mendidik kepada generasi sekarang.
 Pada fasa ke-5 persembahan Khmeropedies II ini, penari perempuan berseluar telah melakukan gerakan secara solo dengan berlatarkan cahaya lampu yang suram. Penari tersebut telah melakukan gerakan dan ekspresi tubuh badan yang sedih. Gerakan yang dilakukan kepada tubuh badannya dibahagian atas badan dari pusat hingga ke kepala seperti gerakan tarian klasik. Gerakan bahagian atas badan masih mengekalkan bentuk gerakan tarian klasik Cambodia. Di bahagian bawah tubuh badan dari pusat hingga hujung kaki seperti gerakan tarian berbentuk tarian barat atau ballet. Gerakan bahagian kakinya kelihatan gerakan seperti bentuk tari di dalam tarian ballet. Ini kerana penari telah menggunakan kedua-dua hujung jari kaki seolah-olah menjengket kakinya di dalam posisi berdiri lurus.  Pada tafsiran saya, guru tersebut seperti kelihatan sedih dengan keadaan dan situasi dimana , apa yang harus dilakukan di dalam bentuk tarian di Cambodia. Oleh kerana itu, guru tersebut merasakan apa yang perlu untuk meneruskan perjuangannya dalam tarian di Cambodia sama ada klasik mahupun kontemporari. Penerimaanya di dalam kontempoari sebagai batu loncatan kepada perubahan tarian klasik tidak di tolak sepenuhnya.
Pada fasa terakhir di dalam persembahan Khmeropedies II, sekumpulan penari seramai 9 orang telah memasuki ruang pentas bersama dua orang penyanyi hip hop Cambodia. Penyanyi tersebut telah menyanyi dalam bahasa Cambodia yang tidak difahami oleh saya sendiri untuk memahami bait-bait perkataan yang dilafazkan oleh penyanyi tersebut. Sementara kesemua penari melakukan gerakan seperti gerakan berbentuk tarian barat dan adakalanya berbentuk tarian klasik. Pada penilaian saya di dalam fasa terakhir persembahan ini adalah golongan generasi muda di Cambodia yang mengemari tarian yang berbentuk barat bukan lagi berbentuk klasik. Oleh kerana di Cambodia telah dipengaruhi oleh budaya luar dari segi lagu, tarian dan lain-lain untuk generasi muda pada masa kini. Di dalam situasi ini, adakah generasi muda di Cambodia menolak sepenuhnya tentang budaya atau tarian klasik. Penerimaan mereka di dalam tarian teknik barat atau ballet memberi persoalaan kepada  generasi muda di Cambodia. Selain itu, memberikan implikasi tentang kerisauan tentang tarian klasik di Cambodia terhadap perubahan sepenuhnya tarian klasik kepada tarian berbentuk kontemporari pada masa akan datang. Ini bergantung kepada generasi muda di Cambodia untuk meneruskan dan membawa warisan Cambodia ke masa hadapan.


No comments:

Post a Comment